KUALA LUMPUR – Polis membuat persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain berkata, walaupun Kuala Lumpur tidak terlibat secara langsung, namun ia menjadi lokasi tumpuan parti politik untuk mengadakan pertemuan.
Katanya, ibu negara juga menjadi lokasi tumpuan penyokong parti politik dari negeri bersempadan untuk mengadakan perhimpunan atau perarakan.
“Keputusan pembentukan kerajaan negeri akan dibuat oleh lbu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Putrajaya. Justeru, kawalan keselamatan akan dibuat di lokasi tersebut bagi mengelakkan sebarang kekacauan.
“Kita akan melakukan pemantauan dan risikan keselamatan bagi pengesanan awal jika terdapat sebarang ancaman.
“Pengawasan akan dibuat sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung dan pengumuman keputusan undian bagi mengelak sebarang perhimpunan atau perarakan dilakukan pihak-pihak tertentu,” ujarnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya akan membuat sekatan jalan raya di kawasan-kawasan tertentu yang dikenal pasti bagi menghentikan apa-apa perancangan perarakan atau apa-apa ancaman keselamatan di Kuala Lumpur.
Jelasnya, Team Cantas akan sentiasa dalam keadaan siap siaga sebagai persediaan sekiranya terdapat keperluan bagi mematahkan apa-apa perancangan menimbulkan kekacauan.
“Semua parti yang bertanding dinasihatkan supaya tidak meraikan kemenangan di tempat awam dan disarankan melakukan aktiviti meraikan kemenangan di premis tertutup ataupun premis parti.
“Apa jua konteks esok, saya nasihatkan parti politik kerajaan mahupun pembangkang menerima keputusan dengan penuh keredaan dan tidak melakukan perkara yang membangkitkan amarah dan emosi.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang ingkar,” katanya. – KOSMO! ONLINE.