BALIK PULAU – Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung esok merupakan satu peluang terbaik untuk rakyat Pulau Pinang menghantar isyarat penolakan terhadap kepimpinan DAP, Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakan-rakan yang menyokong UMNO juga tidak boleh memberi kemenangan kepada calon UMNO yang bertanding dalam PRN di Pulau Pinang memandangkan ia hanya akan menguatkan DAP di negeri ini.
”PRN ini adalah peluang terbaik untuk rakyat menghantar isyarat kepada kerajaan negeri bahawa kami tolak DAP dan tolak PH di Pulau Pinang.
”Kepada rakan UMNO, tolong jangan menangkan UMNO kerana ia hanya akan kuatkan DAP di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok Perikatan Nasional (PN) di Kampung Masjid, Teluk Kumbar di sini, malam tadi.
Menurut Tuan Ibrahim, gelombang kebangkitan rakyat menolak PH dalam PRN kali ini tidak dapat disekat oleh mana-mana pihak malah gelombang kebangkitan itu lebih besar daripada gelombang yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
”Sebelum ini ketika PRU-15, gelombang kebangkitan rakyat tidak kelihatan sangat dan ia hanya boleh dilihat ketika minggu-minggu akhir sahaja namun PRN ini gelombang kebangkitan rakyat lebih besar dapat dilihat.
”Gelombang kebangkitan rakyat ini kalau enam negeri berjaya ditawan PN, dia (pimpinan PH) tak sedap duduk dah kerana dia sedar rakyat telah menolak PH-BN.
”Yang penting pengundi pada minggu-minggu akhir ini jangan terpengaruh dengan mana-mana provokasi, kononnya undi PN masuk syurga, kita tidak pernah buat begitu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Pas juga menyatakan komitmen terhadap Dominic yang bertanding atas tiket PN di kerusi DUN Bayan Lepas dan Pas mendokongi keputusan tersebut.
”Gabungan PN bersama-sama mendokong cita-cita untuk menangkan calon (Dominic), di media sosial timbul seolah-olah ada penentangan tetapi Pas wala’ dengan pemimpin.
“Pas tidak meletakkan calon bebas, kita mendokong bersama keputusan PN dan kita bergerak sebagai satu pasukan bersama-sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE