KUALA NERANG – Rakyat negeri ini perlu memberi undi kepada gabungan parti politik yang mampu membentuk kerajaan negeri yang kukuh dan boleh berkata tidak kepada sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri, sekiranya keputusan dibuat tidak menguntungkan Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jika negeri ini diberikan kepada pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), kedua-dua gabungan tersebut tidak akan berani berkata tidak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim disebabkan pakatan yang dibentuk.
“Kalau beri negeri ini kepada ‘Cak Uban’ (Datuk Mahfuz Omar), kepada Saifuddin (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) atau Tok Det (Datuk Seri Mahdzir Khalid, mereka tidak akan berani kata tidak kepada Anwar Ibrahim kerana mereka selama ini berpakat sekali.
“Kena ada satu keputusan yang kuat di Kedah agar kita dapat mengawal hasil mahsul negeri ini untuk kepentingan rakyat Kedah keseluruhannya, bukan untuk kepentingan tauke-tauke,” katanya pada Konvoi Gelombang Perikatan Nasional (PN) Padang Terap di Naka, dekat sini semalam.
Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan mengapa pemimpin yang menerajui Kerajaan Persekutuan seakan bersungguh-sungguh berkempen di negeri ini walaupun mereka mendakwa kerajaan di peringkat Pusat tidak akan terjejas dengan apa sahaja keputusan PRN.
“Itu disebabkan oleh kekayaan negeri ini, sebab strategiknya kedudukan kita daripada segi geopolitik Kedah di tengah-tengah Asia Tenggara. Orang Kedah kena sedar perkara itu serta kepentingan negeri ini.
“Kita nak pastikan orang yang jadi kerajaan di Kedah ini punya ikatan, kecintaan, kesetiaan dan kefahaman tentang geopolitik serta ekonomi masa depan agar dapat mengawal, sekali gus melindungi negeri ini. Tak ada puak lain boleh buat semua tugas itu kecuali PN,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE