JAKARTA – Seorang pembantu rumah wanita di Indonesia dipukul, dipaksa makan najis haiwan dan dirantai pada sangkar anjing oleh majikannya.
Siti Khotimah, 24, meninggalkan kampung halamannya di Jawa Tengah untuk bekerja di Jakarta tahun lalu selepas melihat iklan mencari pembantu rumah di laman Facebook.
Selepas berbulan-bulan diseksa majikan kerana dituduh mencuri, wanita itu kini tempang dan mempunyai parut melecur pada kakinya.
“Saya dipukul berbilang orang, majikan saya menuang air mendidih ke atas saya. Mereka kemudian merantai saya.
“Kepala saya sakit setiap kaki memikirkan apa yang berlaku kepada saya,” katanya sambil menangis teresak-esak.
Kes sedemikian sering berlaku di Indonesia yang tidak mempunyai undang-undang untuk melindungi pembantu rumah. Akibatnya, lebih empat juta orang dengan kebanyakan mereka wanita, terdedah kepada risiko penderaan.
Majikan Khotimah yang berusia 70 tahun dihukum penjara empat tahun atas kesalahan melakukan penderaan fizikal bulan lalu, manakala suami dan anak perempuan tertuduh serta enam lagi pembantu rumah semuanya dipenjara selama tiga tahun setengah.
Khotimah mendedahkan bahawa dia juga diperkosa semasa bekerja. Polis menasihatinya untuk memfailkan tuntutan mahkamah berasingan untuk kes penderaan seksual.
“Saya sangat kecewa, hukuman itu sangat ringan berbanding apa yang berlaku kepada saya. Mereka sepatutnya merasai apa yang saya rasakan,” katanya. – AFP