fbpx

Mayat dibiar mereput di Sudan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT dua penduduk yang terbunuh selepas rumah mereka terkena bedilan peluru dibawa ke sebuah hospital di selatan Khartoum, 11 Jun lalu. – AFP

KHARTOUM, SUDAN – Ketika perang saudara di Sudan menghampiri tempoh empat bulan, bilik-bilik mayat di ibu negara, Khartoum dilaporkan mencapai had kapasiti sekali gus mengakibatkan beribu-ribu mayat dibiar mereput termasuk di tepi jalan.

Ia berlaku di tengah-tengah kebimbangan para doktor dan pertubuhan bantuan berhubung penularan wabak kolera.

Stesen penyiaran CNN melaporkan, kumpulan bantuan antarabangsa, Save The Children berkata Selasa lalu bahawa bilik mayat hospital-hospital di Khartoum kini mencapai had maksimum.

Mayat dibiar mereput ketika bekalan elektrik masih terputus yang menyebabkan ia tidak dapat disimpan di dalam peti sejuk mayat.

“Ketiadaan kakitangan perubatan turut menyebabkan mayat-mayat terdedah serta tidak menjalani prosedur yang sepatutnya.

“Gabungan peningkatan jumlah mayat, masalah kekurangan bekalan air yang teruk, perkhidmatan sanitasi dan kebersihan yang terganggu serta kekurangan pilihan rawatan air mencetuskan kebimbangan penularan wabak kolera di Khartoum,” kata Save The Children.

Penyakit itu kebiasaannya meningkat di zon-zon perang selepas merebak dengan pantas melalui air tercemar.

Salah seorang ahli Persatuan Doktor Sudan, Abdallah Attiya menyuarakan kebimbangan berlakunya penularan penyakit dan bencana epidemiologi ekoran situasi mayat-mayat terbiar itu.

“Ketidakupayaan untuk mengebumikan jenazah-jenazah juga merupakan satu lagi elemen yang membawa penderitaan kepada ahli keluarga di Khartoum,” ujar Pengarah Kesihatan dan Nutrisi Save The Children, Dr. Bashir Kamal Eldin Hamid.

Pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas telah membunuh sekurang-kurangnya 1,105 orang serta mencederakan 12,115 yang lain setakat 11 Julai lalu, demikian menurut Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI