LONDON – Manchester City hampir pasti mampu menebus kekecewaan pada saingan Piala Perisai Komuniti dan kekal dengan status pilihan untuk catatkan tiga mata sulung pada aksi dengan Burnley di Stadium Turf Moor awal pagi esok.
Walaupun tewas dalam dua aksi sebelum ini termasuk tunduk kepada Atlético Madrid pada aksi persahabatan, peluang masih kekal condong kepada The Citizens berbanding lawannya yang kembali ke pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menjuarai Liga Kejuaraan musim lalu.
Rekod lampau juga berpihak kepada skuad bimbingan Pep Guardiola dengan mencatatkan enam kemenangan termasuk membelasah Burnley 6-0 pada suku akhir Piala FA Mac lalu.
Kehadiran pemain baharu dan kualiti penyerang sensasi City, Erling Haaland mungkin memberi sedikit kelegaan buat Guardiola dan sesuatu yang mustahil buat Burnley mencipta kejutan.
Tiga mata cukup penting buat City membina keyakinan pemain kerana bakal berdepan jadual ketat memandangkan The Citizens akan sertai banyak pertandingan.
“Setiap tahun akan bertambah teruk dan saya tidak pasti bagaimana ia akan berakhir. Ia lebih kepada masalah mental buat pemain kami, lihat saja berapa ramai pemain yang cedera pada pramusim kali ini.
“Mereka pasti akan berdepan keletihan. Apa pun, kami perlu segera menyesuaikan diri tetapi keadaan ini bukan situasi biasa,” kata Guardiola.
Selain tiga kejuaraan domestik, City juga bersaing di pentas Liga Juara-Juara dan bakal bermain pada saingan Piala Kelab Dunia, Disember depan.
Kehadiran Josko Gvardiol dan Mateo Kovacic dijangka menampung kekosongan yang sedang dihadapi City memandangkan ramai bintang utama seperti Kevin De Bruyne sudah pun berusia.
Selain itu, pemain muda 18 tahun, Rico Lewis juga dijangka memperoleh lebih banyak peluang untuk mendapatkan minit permainan selepas beraksi 14 perlawanan musim lalu. – AGENSI