fbpx

Malaysia cipta sejarah ke final ACT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAJMI (kanan) dan Shello (kiri) berada dalam kelas tersendiri apabila masing-masing meledak dua gol buat Malaysia dalam kemenangan 6-2 ke atas Korea Selatan sebentar tadi. - AHF / HOCKEY INDIA

PETALING JAYA – Sejarah baharu arena hoki Malaysia tercipta di bumi India apabila skuad hoki negara layak kali pertama ke pentas final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) bagi edisi 2023.

Lebih manis, Speedy Tigers meraih kejayaan itu dengan membelasah Korea Selatan 6-2 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Mayor Radhakrishan, Chennai sebentar tadi.

Menariknya, ini adalah kemenangan kedua berturut-turut skuad negara yang kini melonjak ke ranking kesembilan dunia, ke atas Korea Selatan selepas terdahulu menang 1-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

NAJMI (depan) mengambil pukulan sudut penalti dalam kemenangan 6-2 ke atas Korea Selatan pada aksi separuh akhir ACT di Stadium Mayor Radhakrishan sebentar tadi. – AHF / HOCKEY INDIA

Dalam aksi sebentar tadi, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal Korea Selatan menerusi Ji Woo Cheon pada minit kedua sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mengikat kedudukan seminit kemudian.

Skuad bimbingan A. Arul Selvaraj itu mendahului 2-1 enam minit kemudian menerusi Muhammad Najmi Farizal Jazlan tetapi Jang Jonghyun kembali mengikat kedudukan buat Korea Selatan pada minit ke-14.

Bagaimanapun, Korea Selatan yang turun selaku juara bertahan pada edisi 2021, terpaksa akur dengan kehebatan Speedy Tigers apabila menambah empat lagi jaringan dalam perlawanan itu.

FAIZAL (kanan) turut meledak satu gol buat Malaysia menewaskan Korea Selatan 6-2 pada aksi separuh akhir ACT di Stadium Mayor Radhakrishnan sebentar tadi. – AFH / HOCKEY INDIA

Empat gol itu dijaringkan oleh Faizal Saari (m-19), Najmi Farizal (m-21) dan dua daripada Shello Silverius pada minit ke-47 serta 48.

Penjaga gol skuad negara, Muhammad Hafizuddin Othman layak diberikan pujian tinggi apabila berjaya menafikan penalti stroke daripada Korea Selatan hingga dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.

Kejayaan itu pastinya menyuntik semangat tambahan buat para pemain apabila turun ke pentas final malam esok menentang pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara India dan Jepun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI