PETALING JAYA – Aliran trafik dilaporkan perlahan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Genting Sempah ke Gombak sehingga menyebabkan kelewatan satu jam.
Situasi itu disebabkan berlakunya kes kemalangan di Kilometer (KM) 35.5 arah Barat melibatkan sebuah lori yang terbakar serta penutupan jalan menghala Tol Gombak.
Menurut Lembaga Lebuhraya (LLM), trafik juga bergerak perlahan dari Gombak ke Genting Sempah ekoran kemalangan tersebut.
Selain itu, tinjauan aliran trafik di lebuh raya utama lain mendapati ia masih dalam keadaan terkawal.
Terdahulu Kosmo! melaporkan aliran trafik menuju ke Pantai Timur dan negeri di utara Semenanjung dijangka sesak mulai hari ini apabila ramai perantau bakal pulang mengundi sempena pada Pilihan Raya Negeri esok. – KOSMO! ONLINE