LONDON – Polis di Essex, Britain sedang menyiasat beberapa kes melibatkan seorang lelaki yang merampas puting kosong daripada mulut bayi, lapor stesen penyiaran Sky News.
Empat kejadian sedemikian dilaporkan berlaku di sekitar Harlow antara 10 Februari hingga 7 Ogos lalu.
Suspek dikenal pasti sebagai seorang lelaki kurus, putih dan berusia dalam lingkungan 20-an, bermata coklat dan bergigi kuning.
Gambar yang didedahkan polis menunjukkan seorang lelaki bertopi hitam dan membawa beg hitam jenama Nike.
Ketua Polis Harlow, Inspektor Paul Austin berkata: “Ini adalah siri insiden luar biasa dan sebagai ibu bapa sendiri, saya memahami tahap kebimbangan yang ditimbulkan.
“Bagaimanapun, saya ingin meyakinkan penduduk Harlow bahawa kami mempunyai detektif yang berdedikasi untuk menyiasat insiden ini, manakala pasukan saya akan memberi perlindungan kepada komuniti setempat,” katanya. – Agensi