PETALING JAYA – Lebih 50 peratus pengundi Barisan Nasional (BN) berkemungkinan berpindah kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.
Jangkaan itu dibuat berdasarkan kajian Ilham Centre membabitkan 2,304 pengundi di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.
Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata, hasil kajian mendapati sekitar 27 hingga 58 peratus pengundi UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bakal berpindah mengundi PN dalam PRN pada 12 Ogos ini.
Menurutnya, fenomena itu disebabkan faktor rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selain ramai yang masih sukar menerima kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
“Ahli UMNO juga berkemungkinan membuat peralihan undi kepada PN atas faktor lebih dekat dengan Pas kesan kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang lalu.
“Dari segi psikologi, selama ini mereka memangkah BN kini bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi PH, tiada logo berkenaan lagi.
“Justeru, mereka takut disindir oleh orang Pas yang mengatakan orang UMNO-BN sudah membela DAP-PH yang didoktrin sekian lama dalam UMNO,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, dalam PRU15 tahun lalu, PN memperoleh 52 peratus undi orang Melayu, diikuti BN (32 peratus) dan PH (15 peratus).
Sementara itu, kajian tersebut turut mendapati majoriti sokongan 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun masih kekal bersama PN seperti PRU15 yang lalu.
Mengulas mengenai kempen PRN yang berlangsung mulai 29 Julai lalu, Hisommudin berkata, cerapan sentimen pengundi di lapangan membabitkan enam negeri mempamerkan keadaan tidak sama.
Katanya, hanya di Selangor dan Kedah disifatkan agak panas kerana pertembungan PH-BN dengan PN lebih ketara.
“Empat negeri lain suasana kempen berbaur hambar dan ‘sejuk’. Ini dapat dilihat kepada sambutan ceramah politik setempat, perang bendera dan kempen fizikal sangat minima.
“Perang sebenar lebih tertumpu di media sosial. Sambutan terhadap ceramah setempat, meraih undi menerima sambutan agak hambar daripada pengundi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE