fbpx

Joe Biden sekat pelaburan teknologi sensitif di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan seorang pekerja cip semikonduktor bekerja di sebuah kilang di Suqian, China. - AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menandatangani perintah eksekutif yang akan melarang AS melabur dalam bidang teknologi sensitif di China dalam langkah yang disifatkan Beijing sebagai antiglobalisasi.

Akhbar The Guardian melaporkan, arahan yang ditunggu-tunggu itu memberi kuasa kepada Setiausaha Perbendaharaan AS untuk melarang atau menyekat pelaburan tertentu negara itu dalam syarikat-syarikat China.

Ia melibatkan tiga sektor iaitu semikonduktor dan mikroelektronik, teknologi maklumat kuantum serta sistem kepintaran buatan (AI) tertentu dengan jangkaan dilaksanakan pada tahun depan.

Biden dalam sepucuk surat kepada Kongres AS mengumumkan bahawa beliau mengisytiharkan darurat kebangsaan untuk menangani ancaman kemajuan oleh negara seperti China dalam teknologi-teknologi sensitif dan produk-produk kritikal ketenteraan, perisikan, pengawasan atau keupayaan siber.

Cadangan itu menyasarkan pelaburan dalam syarikat-syarikat China yang membangunkan perisian untuk mereka bentuk cip dan peralatan bagi mengeluarkannya. AS, Jepun dan Belanda adalah tiga negara yang mendominasi bidang tersebut.

“Komitmen AS untuk membuka pelaburan adalah asas dasar ekonomi kami di mana ia menyediakan negara ini faedah yang besar.

“Bagaimanapun, sebilangan pelaburan kita mungkin mempercepatkan dan meningkatkan kejayaan serta pembangunan teknologi-teknologi sensitif selain produk-produk di negara yang membangunkannya untuk menentang negara ini,” kata Biden dalam surat tersebut.

Tindakan itu dilihat boleh mencetuskan ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu walaupun pegawai AS menegaskan larangan tersebut bertujuan menangani risiko keselamatan negara, dan bukan untuk memisahkan ekonomi kedua-duanya yang saling bergantung itu.

“Sudah terlalu lama wang Amerika membantu meningkatkan kebangkitan tentera China.

“Hari ini (kelmarin), AS mengambil langkah pertama yang strategik untuk memastikan pelaburannya tidak digunakan untuk membiayai kemajuan tentera China,” kata salah seorang ahli Dewan Senat daripada Parti Demokrat, Chuck Schumer.

Selain itu, arahan tersebut turut bertujuan menghalang modal dan kepakaran AS daripada digunakan untuk membantu membangunkan teknologi yang boleh menyokong pemodenan ketenteraan China serta menjejaskan keselamatan Washington.

Ia memberi tumpuan kepada ekuiti persendirian, modal teroka, usaha sama dan pembukaan anak syarikat di pasaran luar.

Dalam pada itu, Kementerian Luar China mengecam tindakan tersebut dengan menyifatkannya sebagai cubaan AS untuk melaksanakan antiglobalisasi.

“Beijing membangkang keras percubaan AS untuk memperkenalkan sekatan terhadap pelaburan di China serta telah mengemukakan bantahan serius kepada Washington,” kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan.

Sumber Kementerian Perdagangan China pula berkata, langkah itu akan mengganggu keselamatan industri global serta rantaian bekalan.

“Tindakan itu menyimpang daripada ekonomi pasaran dan prinsip persaingan adil yang sentiasa dilaungkan oleh AS.

“Ia juga menjejaskan keputusan operasi biasa syarikat, merosakkan perintah perdagangan antarabangsa dan sangat mengganggu keselamatan perindustrian serta rantaian bekalan global,” ujarnya. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI