PETALING JAYA – Golongan ibu yang menyokong polisi membenarkan anak-anak memakai pakaian sukan ke sekolah, bukan bermaksud mereka pemalas.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook hari ini, situasi tersebut sebenarnya membantu memudahkan golongan ibu menguruskan pakaian anak-anak mereka untuk ke sekolah.
“Ibu-ibu yang menyokong polisi berpakaian sukan ke sekolah bukan bermaksud mereka malas tetapi polisi mesra pelajar dan ibu bapa ini memberi impak kualiti kehidupan serta kesihatan mental yang ‘significant’.
“Ini contoh bagaimana hidup secara minimalis dapat mengurangkan beban kekusutan mental. Masa, tenaga dan usaha dapat difokuskan kepada tugasan yang lebih penting,” kata PHM.
Menerusi poster yang dikongsikan, PHM meyifatkan pemakaian sukan ke sekolah menjadikan murid-murid selesa dan mudah bergerak.
“Ia juga memberi kesan kepada masa menggosok baju yang dapat dikurangkan, jimat tenaga elektrik, masa dan kesihatan mental ibu lebih baik.
“Pelajar dibenar memakai pakaian sukan ke sekolah, ibu gembira anak selesa,” kongsi PHM. – KOSMO! ONLINE