KUALA LANGAT – Sebuah kilang besi buruk yang beroperasi secara haram selama lima tahun digempur dalam kejadian Jalan Teluk Mengkuang, Telok Panglima Garang di sini, semalam.
Dalam serbuan Op Pintas kira-kira pukul 3.30 petang itu, seramai 22 warga asing yang dipercayai tiada dokumen perjalanan diri berusia 21 hingga 48 tahun berjaya ditahan.
Turut diselamatkan dua remaja warga Bangladesh bawah umur iaitu 17 tahun yang dipercayai diekploitasi pengurusan kilang berkenaan.
Operasi itu dijalankan sepasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Task Force Pejabat Strategik Nasional (NSO) Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri.
Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, semasa serbuan dilakukan terdapat cubaan melarikan diri melalui pintu belakang premis namun berjaya digagalkan pihaknya.
“Kesemua 22 pekerja termasuk seorang wanita adalah terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan China. Turut ditahan dua lelaki warga China yang merupakan pengurus dan pembantu pengurus kilang berusia 37 dan 58 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pemeriksaan mendapati tempat tinggal pekerja asing dalam keadaan kotor selain terdapat peralatan memasak di ruangan katil.
Jelas Fadil, siasatan awal mendapati kilang itu yang tidak mempunyai lesen perniagaan dan beroperasi sejak lima tahun lalu.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Tindakan juga diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Kanak-kanak dan Orang Muda 1966,” katanya. – KOSMO! ONLINE