PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memberikan sedikit lagi perincian berkenaan Dasar Gaji Progresif yang akan dibincangkan Kabinet, yang mana ia dikatakan bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.
Penulis melihat pengumuman tersebut bukanlah sekadar gula-gula pilihan raya, sebaliknya merupakan sebahagian daripada transformasi struktur dengan pelaksanaan bersifat jangka panjang membela nasib pekerja.
Tambahan pula gaji pekerja di negara ini dianggap masih rendah, apabila lebih dua juta berpendapatan kurang RM2,000 sebulan, berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023.
Secara umumnya, ramai melihat gaji progresif ialah majikan memberikan kenaikan gaji tahunan, sesuai pertumbuhan kemahiran dan pengalaman pekerja, selain kenaikan kos sara hidup yang jarang-jarang akan turun.
Sewaktu mula-mula bekerja sekitar 2010, penulis menerima kenaikan gaji tahunan secara automatik sekitar RM60. Pastinya kenaikan sebegini bukanlah yang diharapkan rakyat, kita mahukan ciri-ciri yang lebih dekat dengan apa yang diamalkan di Singapura.
Awal tahun lalu, banyak media melaporkan gaji pekerja dalam sektor pembersihan di Singapura bakal dinaikkan kepada S$3,260 (RM11,104 berdasarkan kadar tukaran semasa) sebulan menjelang 2028, di bawah model gaji progresif baharu sektor itu.
Ya, pengutip sampah di seberang tambak akan beroleh gaji lima angka sebulan (dalam ringgit). Mungkinkah tukang sapu di Kuala Lumpur juga bakal mendapat upah yang serupa?
Pada masa sama, Pengarah Institut Pembangunan & Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berpandangan kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dalam menetapkan harga sekiranya boleh, dan bercakap soal harga, ia termasuklah upah pekerja.
Malah, beliau mempersoalkan sama ada sistem gaji progresif adalah bertepatan untuk menyelesaikan kadar gaji rendah yang dialami rakyat sekarang.
“Peraturan ekonomi asas, apabila berdepan dengan isu harga yang rendah, kita perlu lihat pada bekalan dan permintaan.
“Dari segi bekalan, jumlah pekerja asing sangat banyak, namun penciptaan pekerjaan bernilai tinggi pula rendah.
“Kita perlu lihat masalah terlebih dahulu sebelum memperkenalkan peraturan baharu,” katanya baru-baru ini.
Bagi Noor Azlan, Malaysia sebenarnya sudah agak terlanjur dan menjadi ‘syurga’ buat pekerja asing tanpa kemahiran dan keadaan itu memberitahu siapa sebenarnya diri kita.
Tambahnya, semua negara memiliki kumpulan yang tidak berkemahiran serta tidak berpendidikan tinggi, dan kumpulan ini tetap memerlukan pekerjaan.
“Saya pernah duduk bersama kumpulan ini dan mereka sedia untuk bekerja, namun tidak sanggup menerima gaji seperti pekerja asing di sini.
“Di Amerika Syarikat banyak pekerja asing, namun mereka ikut standard gaya hidup di sana yang tidak boleh 20 orang tinggal dalam satu apartmen.
“Sekiranya kita ambil model gaji progresif di Singapura, ia menyasarkan rakyat Singapura, penduduk tetap dan kumpulan berpendapatan rendah. Lihat pada pekerjaan sekuriti, petugas pembersihan dan juru landskap di sini, yang melakukannya adakah rakyat Malaysia atau warga asing?
“Saya bangga bila Perdana Menteri memberi penekanan tentang isu pendapatan, namun bagaimana kita tanganinya sangat penting,” ujarnya.