JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang gadis bawah umur dipukul oleh sekumpulan lelaki, lapor laman berita Suara.com.
Berdasarkan klip video dalam akaun Instagram @radar_cianjur, mangsa bukan sahaja dikasari, malah digilis menggunakan motosikal yang dipandu laju pada 4 Ogos lalu.
“Tindakan ganas dilakukan oleh geng lelaki bermotosikal kembali berlaku di Sukabumi, Jawa Barat. Sekumpulan remaja menganiaya seorang gadis,” demikian menurut kapsyen video tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Citamiang, Iwan Hendi Sutisna berkata, pihaknya telah menangkap suspek yang terlibat dalam serangan terhadap seorang gadis dari Benteng Warudoyong.
Menurut Iwan, suspek melakukan serangan tersebut bersama lapan lagi rakannya manakala perbuatan itu didorong oleh rasa cemburu terhadap mangsa.
“Suspek menjalani soal siasat di Ibu Pejabat Polis Citamiang,” katanya. – Agensi