JAKARTA – Seorang wanita Indonesia terkejut apabila mendapat bukti bahawa bayi lelaki yang dilahirkannya di sebuah hospital tertukar dengan bayi lain selepas setahun dia menjaganya, lapor laman berita Mothership hari ini.
Siti Mauliah bersalin melalui pembedahan caesar di sebuah hospital dekat Bogor, Jawa Barat. Peguamnya, Rusdy Ridho berkata, Mauliah masih menyusukan anak kandungnya pada hari pertama kelahiran.
Bagaimanapun pada hari kedua, Mauliah sudah berasa pelik ketika menggendong bayi yang diberikan kepadanya.
Pada hari ketiga, ketika hendak pulang ke rumah, seorang jururawat menemui Mauliah dan bertanyakan nama bayi itu sambil merujuk gelang pengenalan.
Hospital di Indonesia akan memberi gelang tertera nama ibu dan bapa kepada bayi untuk mengelakkan kes tertukar bayi.
Ketika kejadian, gelang pengenalan bayi itu sudah tidak menggambarkan identiti yang betul. Mualiah mendapati bayinya diberikan gelang di bawah nama pesakit berbeza.
Namun, jururawat itu memberitahu Mauliah bahawa gelang bayinya mungkin terjatuh atau tertukar dengan pesakit lain. Setelah setahun berlalu, pihak hospital masih bertegas bahawa hanya gelang pengenalan itu yang tertukar, bukan bayinya.
Akibat tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan, Mauliah menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menentukan sama ada bayi yang dibawa pulang benar-benar anaknya.
Keputusan ujian DNA mendapati bayi itu bukan anak kandungnya. Mereka melaporkan kes itu kepada Unit Perkhidmatan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Polis Bogor untuk siasatan. – Agensi