JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang kempunan untuk menaiki podium dalam penampilan terakhirnya di pentas Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 di Glasgow, Scotland.
Azizulhasni, 35, terpaksa akur apabila terkandas di peringkat separuh akhir acara keirin di Velodrom Sir Chris Hoy awal pagi semalam selepas disingkirkan di pusingan kedua kategori pecut sebelum ini.
Pemenang pingat perak dan gangsa keirin Sukan Olimpik Rio 2016 serta Tokyo 2020 itu menjelaskan, jadual perlumbaan singkat kurang sejam antara suku akhir dan separuh akhir menjadi antara faktor kegagalannya.
The Pocket Rocketman turut mendedahkan, dia rebah ke lantai selepas tamat aksi separuh akhir, sekali gus akur gagal ke final dalam penampilan terakhir di pentas Kejohanan Dunia.
“Jadual perlumbaannya jauh berbeza dengan Sukan Olimpik, Piala Dunia dan sebagainya kerana berlangsung serentak dengan kategori para. Saya bukan mahu memberikan alasan tetapi penerangan kepada semua.
“Selepas tamat separuh akhir, kepala saya macam pening, nak pitam, bernafas juga susah dan saya macam takut juga. Di bilik perubatan, ujian mendapati tahap gula dalam darah saya rendah.
“Tidak dapat dipastikan sama ada ini adalah disebabkan intensiti perlumbaan ataupun kesan daripada pasca pembedahan saya sebelum ini,” jelas Azizul yang pernah menjuarai acara keirin pada edisi 2017 di Hong Kong.
Pingat emas acara keirin dimenangi pelumba Colombia, Kevin Quintero, manakala Matthew Richardson (Australia) meraih tempat kedua sementara Shinji Nakano (Jepun) berjaya membawa pulang pingat gangsa kejohanan itu.