SUNGAI PETANI – Pihak berkuasa diminta memantau sebarang aktiviti ‘sedekah politik’ yang mungkin dilakukan pihak tertentu pada waktu-waktu terakhir menuju hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata, berdasarkan pengalaman lalu ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), berkemungkinan terdapat pihak yang dipercayai menggunakan pendekatan sama untuk meraih undi.
“Saya sarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau aktiviti ini kerana kegiatan memberi sedekah politik ini adalah rasuah dan dilarang mengikut Akta SPR.
“Pengalaman dalam PRU15, langkah itu ada dilakukan dan kita harap ketiga-tiga agensi itu dapat memantau agar sedekah politik tidak dilakukan pihak yang satu lagi,” katanya pada sidang akhbar Program Desa Cerdas Kemas di Dataran Tsunami, Kota Kuala Muda, di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas kajian badan pemikir, Ilham Centre yang meramalkan status quo di enam negeri yang terlibat PRN, Ahmad Zahid berkata, kepimpinan Kerajaan Perpaduan akan terus melaksanakan langkah-langkah yang demokratik bagi memenangi hati pengundi.
“Analisis ini merupakan kajian yang dibuat secara empirikal dan kita tahu ianya berstruktur tetapi pastinya dalam mana-mana kajian, ia tidak melibatkan setiap pengundi.
“Di saat akhir ini, kita akan terus lakukan langkah-langkah diperlukan. Perdana Menteri bersama kepimpinan Kerajaan Perpaduan di enam negeri ini akan terus memperkasakan langkah yang sangat demokratik,” jelasnya.
Sementara itu, beliau enggan mencampuri keputusan Pas mengumumkan perubahan gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar di Kelantan sekiranya mereka menang di negeri itu, kerana perkara tersebut adalah hal dalaman parti berkenaan.
“Kita tidak mahu ambil tahu hal dalam parti mereka tetapi jika kepimpinan negeri Kelantan diberikan kepada Nik Amar (Datuk Nik Amar Nik Abdullah), negeri itu akan lebih hancur lagi, jadi alternatif terbaik adalah berikan pertukaran itu kepada Barisan Nasional (BN).
“Rakyat Kelantan khususnya mereka yang dimangsakan oleh watak Timbalan Menteri Besar ini menyebabkan kebencian kepadanya berada pada tahap maksimum, baguslah kalau Nik Amar yang jadi ‘poster boy’ kali ini. Mudah-mudahan mereka akan ‘ke laut’,” katanya. – KOSMO! ONLINE