fbpx

3,231 pusat mengundi, 17,265 saluran dibuka esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 3,231 pusat mengundi melibatkan 17,265 saluran akan dibuka bagi proses membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia melibatkan 3,190 pusat mengundi dan 17,048 saluran bagi PRN manakala bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu 41 buah pusat mengundi dengan 217 saluran.

“Bagi memastikan kelancaran hari mengundi, seramai 153,760 orang petugas bagi PRN manakala PRK Kuala Terengganu 1,995 orang petugas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Walau bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan,” ujarnya.

Jelasnya, pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada kerani pengundian pertama (KP1) di saluran.

“Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“Pengundi adalah dinasihatkan untuk membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya.

Ikmalrudin juga mengingatkan semua pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi adalah tidak dibenarkan.

“Pengundi yang positif Covid-19 untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian kelak.

“Semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi pada hari mengundi dilarang memakai apa-apa yang berkaitan mempunyai logo parti atau membawa maksud sokongan mahupun cenderung kepada mana-mana fahaman politik,” katanya.

Hari penentu esok menyaksikan 9,674,456 orang pengundi bagi PRN enam negeri manakala PRK Parlimen Kuala Terengganu 122,160 orang pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI