KUALA TERENGGANU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengulangi pendirian penyertaan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan bertujuan untuk memecah undi.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti berkenaan komited membawa suara rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama sebagai suara semak dan imbang kepada kerajaan negeri.
“Penyertaan Muda dalam PRN bukan mudah kerana kita terhimpit antara dua blok gergasi politik tanah air iaitu Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) serta Pas dengan Bersatu.
“Tidak masuk akal untuk kata Muda akan pecahkan undi pengundi Melayu dan bukan Melayu sedangkan realitinya, kita mahu menyatupadukan dan membawa suara rakyat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Syed Saddiq berkata, Muda berhasrat menjadi pembangkang yang bermaruah di Terengganu dengan memastikan proses semak dan imbang kepada kerajaan baharu kelak. – KOSMO! ONLINE