GUA MUSANG – Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dilihat menjadi medan besar kepada gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) untuk menebus kekalahan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, PRN kali ini merupakan misi untuk menebus kekalahan terutamanya di peringkat Parlimen Gua Musang.
Menurutnya, beliau yakin peti undi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Gua Musang iaitu di Galas, Nenggiri dan Paloh mendapat undian majoriti kepada BN-PH.
Katanya, keyakinan itu dapat diukur dengan sokongan yang ditunjukkan pengundi sepanjang tempoh berkempen.
“Saya rasa rakyat kali ini akan menebus semula kekalahan yang kita alami pada PRU15 yang lalu. Mungkin penebusan itu dapat dibukti dengan kemenangan calon-calon kita yang menawarkan diri untuk bertanding pada PRN kali ini.
“Saya yakin. Mereka mengatakan peti undi untuk pilihan raya kawasan Parlimen dahulu, kita dapat majoriti yang memuaskan. Mereka yang hadir hari ini (semalam) menyatakan akan tambah majoriti untuk calon.
“Saya sudah pergi ke beberapa kawasan. Nampaknya mereka terus menzahirkan keyakinan kepada kita. Betulkah cakap propaganda politik mengatakan kita akan disapu bersih oleh Pas, tetapi penyapu apa dia guna?,” katanya selepas Program Santai bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li, keyakinan pengundi terhadap BN-PH menunjukkan trend positif apabila hujah yang dibawa gabungan tersebut pada PRN mampu memikat pengundi.
Menurutnya, beliau percaya pengundi akan menukar pentadbiran kerajaan negeri selepas melihat kegagalan kerajaan Pas menyelesaikan pelbagai isu rakyat terutamanya aspek bekalan air.
Katanya, kerjasama BN-PH diyakini mampu menawan negeri Kelantan pada PRN kali ini.
“Saya rasa ramai rakyat yang akan menerima hujah-hujah yang kita bentangkan kepada mereka seperti air dan lain-lain yang tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan yang ada.
“Dia (Pas) sudah lebih 30 tahun memerintah negeri Kelantan. Apa lagi dia mahu yakini rakyat? Sekiranya dalam 30 tahun dia tidak boleh bukti kemampuan dan kebolehan, tidak perlu kita tanya lagi kerana kita sendiri merasai. Bukan kita saja, rakyat pun merasai. Cuma ada yang degil tak mahu terima. Apakah kita ini tak mahu berubah? Saya percaya rakyat mahu berubah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.