KOTA BHARU – Seorang aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan membuat laporan polis hari ini selepas ada pihak yang melemparkan tuduhan bahawa dia menawarkan duit minyak kepada perantau untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Mohamad Redzuan Rosli, 33, berkata, sebelum ini dia menubuhkan kumpulan WhatsApp ‘Preboh Mat Amar’ yang mengumpulkan anak-anak Kelantan dan mempunyai 4,800 keahlian bagi empat kumpulan berasingan.
Menurutnya, ada individu yang mendakwa dia menawarkan duit minyak RM300 kepada perantau yang akan pulang mengundi di Kelantan menerusi WhatsApp tersebut.
“Individu itu juga membuat akaun Facebook palsu iaitu ‘Umdap Madanon’ sebelum membuat hantaran perantau boleh menuntut RM300 dengan meletakkan nama, nombor telefon saya dan beberapa rakan lain.
“Saya tidak pernah membuat tawaran tersebut meskipun menubuhkan kumpulan WhatsApp itu. Ia merupakan satu fitnah terhadap saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu hari ini.
Mohamad Redzuan memberitahu, dia menerima 400 mesej menerusi WhatsApp dan banyak panggilan daripada perantau Kelantan yang mahu menuntut duit minyak selepas pulang mengundi.
Dia agak kecewa apabila namanya dikaitkan dengan kegiatan politik wang sekali gus menyebabkan reputasinya sebagai aktivis PH tercemar.
“Bukan amalan saya untuk memberi duit minyak kepada perantau. Kesemua pengundi luar perlu menyatakan kesanggupan untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tanpa mengharapkan tawaran kewangan,” katanya.
Dia turut berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut dan mengesan individu yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan fitnah terhadap dirinya. – KOSMO! ONLINE.