Saya telah mengalami kemalangan yang menyebabkan saya kehilangan dua batang gigi depan. Saya telah mendapatkan bantuan perubatan untuk membuat implan gigi (tanam gigi). Saya ingin memohon pandangan mengenai hukum sama ada saya boleh melakukan implan gigi tersebut atau tidak?
JAWAPAN: Menanam gigi di dalam dunia perubatan gigi dikenali sebagai dental implant. Ada dua jenis implant. Pertama, endosteal implants dan subperiosteal implants.
Kedua-dua ini adalah jenis implant yang selamat.
Proses implan (penanaman) adalah berbeza dengan dental bridge. Ini kerana dental bridge (jambatan) tidak ditanam ke dalam gusi melalui pembedahan seperti implant.
Berdasarkan persoalan yang dikemukakan, ada perkara utama yang perlu diambil kira dan difahami dengan jelas. Apakah tujuan penanaman gigi tersebut? Adakah ia dilakukan untuk tujuan rawatan atau hanya sekadar untuk kecantikan?
Maka di sini perlu diperjelaskan dan dipecahkan huraian mengikut tujuan ditanam gigi tersebut kerana kedua-duanya mempunyai hukum berbeza.
Jika ia dilakukan hanya untuk tujuan kecantikan, maka ia tidak dibolehkan. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW:
Maksudnya: “Allah SWT melaknat orang lelaki dan perempuan yang melukis tatu yang menyambung rambut dan menjarangkan gigi untuk kelihatan cantik dan mengubah ciptaan pemberian Allah.” (Riwayat al-Bukhari: 5931)
Kata Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini; “Difahami daripada hadis ini bahawa ia adalah satu bentuk perbuatan mazmumah jika dia melakukannya untuk tujuan kecantikan. Jika ia dilakukan kerana keperluan perubatan maka diharuskan.” (Rujuk; Fath al-Bari, Jld.10, Hlm. 372)
Al-Qastalani menyebut: “Jika apa yang dilakukannya itu adalah dengan tujuan kecantikan maka ia adalah haram. Jika ia diperlukan untuk tujuan mengelokkan (mengubati) atau terdapat aib pada gigi maka ia dibolehkan.” (Rujuk; Irsyad al-Sari Sharh Sahih al-Bukhari, Jld.8, Hlm.474)
Adapun jika seseorang itu melakukannya dengan tujuan rawatan, maka hukumnya adalah diharuskan serta dibolehkan. Bahkan, ia menjadi satu keperluan kerana dengan ditanam gigi tersebut maka memudahkan dia untuk makan dan bercakap.
Keharusan ini adalah berdasarkan keumuman hadis yang diriwayatkan daripada Usamah Bin Syarik: “Berubatlah. Sesungguhnya Allah azza wa jalla tidak mendatangkan sesuatu penyakit itu melainkan didatangkan juga bersamanya ubat kecuali satu penyakit (yang tidak boleh disembuhkan ) iaitu tua.” (Riwayat Abu Daud, 3357)
Di sana juga ada peristiwa yang berlaku kepada seorang sahabat iaitu ‘Arjafah bin As’ad ketika peperangan. Kata beliau:
Maksudnya: “Hidungku telah terputus pada hari peperangan Kulab di zaman Jahiliyyah. Maka aku mengambil (menggantikan) hidungku dengan perak. Lalu (beberapa ketika) hidungku mula membusuk. Maka Rasulullah SAW memerintahkan aku untuk menggantikan hidungku dengan emas.”
(Riwayat al-Tirmizī: 1877)
Hadis ini menjadi petunjuk tentang keharusan menggunakan emas untuk tujuan rawatan walaupun pada dasarnya emas itu haram digunakan oleh orang lelaki.
Keharusan itu berdasarkan apa yang berlaku kepada sahabat Nabi SAW iaitu ‘Arjafah Bin As’ad.
Dr Yusuf al-Qaraḍāwī menyebut; “Jika terdapat pada manusia kecacatan yang menyebabkan kesakitan sama ada yang nyata atau secara emosi maka tidak mengapa untuk merawatnya. Selagi mana ia dilakukan untuk menghilangkan kesakitan tersebut, yang mana kesakitan itu menyusahkannya dan mengganggu kehidupannya. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan agama ini satu yang payah.”
Kesimpulannya, berdasarkan persoalan yang diajukan hukum menanam gigi setelah mengalami kemalangan yang menyebabkan kehilangan dua batang gigi adalah harus.
Keharusan ini adalah berdasarkan untuk rawatan yang mana jika tidak dilakukan ia akan menyusahkan dan menyukarkan kehidupan.
Misalnya, tidak mampu untuk mengunyah makanan dan lain-lain.
Jika ia dilakukan sekadar untuk kecantikan seperti menggantikan gigi sedia ada dengan yang lebih elok, maka perkara itu seeloknya tidak dilakukan.