fbpx

Penduduk kulit putih AS diramal tidak lagi jadi majoriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai berjalan di pusat bandar Manhattan, Bandar Raya New York pada 30 Mac lalu. - AFP

WASHINGTON – Penduduk Amerika Syarikat (AS) yang lahir antara 1997 hingga 2012, atau dikenali sebagai Generasi Z akan bergelar kumpulan terakhir yang menjadikan orang kulit putih sebagai kaum majoriti di negara itu, demikian menurut kajian baharu data banci AS seperti dilaporkan laman berita RT.

Hanya kurang separuh daripada mereka yang dilahirkan selepas tempoh itu adalah golongan berkulit putih. Ini bakal menjadikan kelompok yang dahulunya minoriti di negara berkenaan sebagai penduduk majoriti menjelang 2045.

Dua tahun lalu, satu data banci yang dikeluarkan mendapati majoriti penduduk berkulit putih di AS telah menyusut daripada sekitar 80 peratus pada 1980 kepada 59 peratus pada 2020.

Penurunan itu tidak didorong oleh pertumbuhan populasi penduduk berkulit hitam yang kekal statik antara 12 hingga 13 peratus sejak 2010.

Sebaliknya, populasi penduduk berketurunan Sepanyol atau Amerika Latin, Asia dan bangsa campuran telah meningkat di negara itu dengan masing-masing mencatatkan 19 peratus, 6.3 peratus dan tiga peratus.

Kajian lanjut data dijalankan Institusi Brookings pada minggu lalu mendedahkan bahawa penurunan jumlah penduduk berkulit putih adalah lebih signifikan apabila dipecahkan mengikut generasi.

Walaupun diketahui sejak 2020 bahawa orang berkulit putih tidak akan menjadi kaum majoriti di AS menjelang 2045, titik penting itu telah pun dicapai dalam kalangan Generasi Alpha atau mereka yang lahir selepas 2012.

Menurut kajian tersebut, orang berkulit putih bukan Sepanyol membentuk 77 peratus daripada populasi yang berumur lebih 75 tahun dan 67 peratus dalam kalangan populasi berumur 55 hingga 64 tahun.

Selain itu, 55 peratus daripada golongan itu adalah dalam kalangan mereka yang berumur 35 hingga 44 tahun dan hanya lebih separuh lagi berusia 18 hingga 24 tahun.

Bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun, 47 peratus terdiri daripada orang berkulit putih, 25 peratus berketurunan Sepanyol, 13 peratus berkulit hitam, 5.4 peratus berketurunan Asia dan selebihnya adalah dua atau lebih kaum lain.

Isu berhubung populasi tersebut dipertikaikan di media AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Parti Republikan pula menuduh Parti Demokrat menggunakan dasar sempadan yang longgar untuk mengimport blok pengundi berketurunan Sepanyol yang pada kebiasaannya mengundi parti pemerintah itu di negeri-negeri dikuasai Republikan seperti Texas.

Sama ada pakar-pakar dan media bersorak atau bimbang akan penurunan jumlah penduduk kulit putih di AS, seorang profesor sosiologi, Richard Alba memberitahu akhbar The Hill bahawa orang kulit putih akan kekal sebagai kumpulan terbesar di negara itu bagi tempoh yang lama.

“Dari satu segi, kami sedang membentuk masyarakat arus perdana yang baharu di sini yang akan menjadi sangat pelbagai.

“Namun, orang kulit putih akan menjadi sebahagian besar daripada populasi itu. Mereka tidak akan hilang atau digantikan,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI