fbpx

Pasang papan tanda elak kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (tengah) ketika meninjau lokasi kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam.

SHAH ALAM – Pemasangan papan tanda amaran akan dibuat di persiaran Mokhtar Dahari dari Puncak Alam sebagai penambahbaikan ciri keselamatan bagi mengelakkan kekerapan kemalangan maut di lokasi tersebut.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan statistik mendapati lima kemalangan berlaku di lokasi tersebut sejak 2020 dengan terbaharu melibatkan kematian seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, semalam.

“Hasil tinjauan di lokasi itu mendapati jalan berkenaan berbukit dan sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang. Namun berada dalam keadaan baik termasuk telah dipasang lampu jalan.

“Saya difahamkan, kebanyakan kemalangan berpunca daripada pengguna yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dengan membelok ke kanan untuk ke stesen minyak walaupun terdapat garisan berkembar di jalan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi tersebut hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan seorang pelajar lelaki Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM Puncak Perdana berusia 21 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang ingin memasuki stesen minyak dari Puncak Alam.

Sehubungan itu, Alexander menegaskan pemasangan papan tanda itu akan dilakukan segera bagi memastikan pengguna lebih berwaspada dan tidak membelok di kawasan tersebut dari arah bertentangan ( Puncak Alam).

Tambah beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri memaklumkan terdapat perancangan untuk melebarkan jalan di kawasan terbabit dan akan membina pembahagi jalan untuk mengelak kenderaan daripada membelok di kawasan berkenaan.

“Kita mengambil perhatian dengan kekerapan kemalangan berlaku di jalan ini termasuk yang tular di media sosial.

“Walaupun ini jalan negeri tetapi JKR juga mempunyai tanggungjawab bersama dengan kerajaan negeri untuk memastikan keselamatan di jalan raya,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI