HULU TERENGGANU – Setelah lebih dua tahun menyepi, harimau belang kembali mengganas menyerang lembu ternakan di Kampung Lubuk Periuk di sini sejak Sabtu lalu.
Setakat ini, tiga ekor lembu ternakan penduduk sudah dibaham dipercayai angkara harimau belang.
Salah seorang penternak, Sumani Mohamad, 61, berkata, bekas tapak kaki harimau belang telah dikesan di sekitar kandang lembu ternakan penduduk termasuk miliknya pada Jumaat lalu.
“Hati saya tidak sedap dan ia terbukti apabila dua ekor lembu ternakan saya didapati dibaham haiwan buas itu pada dua hari kemudian.
“Sudah lama harimau belang tidak mengganas, seingat saya kali terakhir pada Februari 2021 namun ketenangan kami kini sudah berakhir,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Lubuk Periuk di sini semalam.
Sumani berkata, dia terkejut apabila menjumpai bangkai lembu ternakan yang hanya tinggal sebahagian kaki pada pagi Ahad lalu.
Dia berkata, mereka percaya harimau belang terbabit adalah haiwan buas sama yang pernah menyerang lembu peliharaan mereka pada dua tahun lalu.
Seorang lagi penternak, Zawawi Zakaria, 29, berkata, setakat ini, mereka sudah kerugian lebih RM3,000 akibat kematian tiga ekor lembu ternakan.
Dia berkata, ancaman harimau belang telah membelenggu penternak lembu di Kampung Lubuk Periuk sejak sekian lama.
“Sebanyak lebih 20 ekor lembu ternakan kami telah mati dibaham harimau sejak 10 tahun lalu.
“Tambah merungsingkan kami, serangan harimau belang kali begitu hampir dengan penempatan penduduk kampung iaitu hanya kira-kira 600 meter,” katanya.
Kosmo! 15 Februari 2021 melaporkan lima penternak lembu Kampung Lubuk Periuk dalam ketakutan selepas kandang ternakan mereka diserang seekor harimau belang.
Harimau jantan dewasa sama dipercayai berasal dari Hutan Simpan Dungun berhampiran juga dipercayai pernah membaham empat ekor lembu penternak sepanjang tahun 2020.