BARCELONA – Barcelona kini bertarung dengan waktu untuk mendaftarkan nama Ilkay Gundogan selepas dilaporkan bakal kehilangan pemain tengah itu secara percuma sebelum Ahad ini.
Ia bakal satu kerugian besar buat The Catalans kerana Gundogan, 32, baru sahaja menyertai kelab itu secara percuma pada Jun lalu dari Manchester City.
Ketua jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez berharap dapat menurunkan bintang antarabangsa Jerman itu untuk aksi pertama La Liga menentang Getafe di Coliseum Alfonso Perez pada 14 Ogos ini.
Bagaimanapun, situasi itu tidak berlaku jika Barcelona gagal mendaftarkan namanya dalam senarai pemain mereka musim ini berdasarkan klausa yang ada dalam kontrak Gundogan.
Menurut laporan Forbes, The Catalans juga perlu membayar setahun penuh gaji Gundogan jika dia meninggalkan kelab itu secara percuma dengan tarikh akhir adalah pada Ahad ini.
Begitupun, situasi itu mungkin tidak berlaku kerana Gundogan dikatakan bakal mengisi slot Ousmane Dembele yang ketika ini semakin hampir untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG).
Dembele dilaporkan sudah tiba di Paris untuk menjalani ujian perubatan, manakala seorang lagi pemain tengah Barcelona, Franck Kessie juga dikatakan bakal menyertai Al Ahli di Arab Saudi. – AGENSI