KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menerima kutipan zakat berjumlah RM141.9 juta sepanjang tahun ini.
Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sumbangan itu termasuk daripada syarikat korporat dan individu yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.
“Insya-Allah sasaran untuk memungut zakat sebanyak RM240 juta pada tahun ini dapat dicapai. Syarikat dan individu di Kelantan dilihat memberi komitmen untuk mengeluarkan zakat.
“Biasanya, kutipan zakat akan meningkat menjelang hujung tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kepada Maik di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, setakat ini, Maik sudah mengagihkan sebanyak RM132.4 juta zakat kepada mereka yang layak dan memerlukannya.
Sehubungan itu, pihaknya berharap lebih banyak syarikat korporat melaksanakan potongan gaji kepada pekerja untuk tujuan pembayaran zakat. – KOSMO! ONLINE