KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki pada bulan lalu.
Tertuduh, Roslan Mohamad, 33, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun satu bulan.
Roslan didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik asrama di daerah Marang pada pukul 5 pagi, 28 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 13 September ini.
Mahkamah kemudian turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE.