fbpx

Kes saman S.M Faisal terhadap aktivis Mona Din selesai cara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah ahli perniagaan Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin Kamal terhadap seorang aktivis wanita Mona Din diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Saman itu membabitkan beberapa hantaran berbaur fitnah oleh Mona atau nama sebenarnya Che Muna Din di akaun Facebook miliknya berhubung isu pemenjaraan bekas isteri S.M Faisal, Emilia Hanafi.

Menurut peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili S.M Faisal selaku plaintif berkata, kes itu berjaya diselesaikan secara baik dan penghakiman persetujuan telah direkodkan oleh mahkamah berdasarkan terma penyelesaian.

“Defendan (Che Muna) akan menarik balik hantaran berkenaan dan memuat naik permohonan maaf di Facebooknya,” kata peguam itu selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Azian Othman.

Menurut Akberdin, dengan penyelesaian kes saman itu, mahkamah turut melapangkan tarikh perbicaraan kes itu yang ditetapkan selama empat hari bermula 14 Ogos ini.

Sementara itu, peguam Muzzammil Merican Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mona selaku defendan berkata pihak-pihak mencapai penyelesaian dan anak guamnya tidak akan membuat lagi hantaran berkaitan S.M Faisal membabitkan isu berkenaan.

Dalam saman difailkan pada 17 Ogos 2022, S.M Faisal mendakwa defendan memuat naik empat hantaran berbaur fitnah dalam akaun Facebook miliknya, Mona Din antara 29 Jun hingga 20 Julai 2022.

Dakwa plaintif, hantaran-hantaran tersebut antara lain menggambarkan beliau adalah seorang yang kejam, tidak bertimbang rasa dan menyebabkan trauma kepada bekas isterinya selain didakwa menggunakan wang serta pangkatnya untuk memanipulasi sistem keadilan di negara ini.

Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 28 September 2022, mendakwa hantaran berkenaan merupakan komen adil dan berpatutan kerana isu tersebut berkepentingan awam.

Sebelum ini, penyelesaian sama turut dicapai dalam kes saman S.M Faisal terhadap Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli selepas penyanyi rap itu membuat permohonan maaf kepada ahli perniagaan berkenaan di mahkamah sama pada 4 Ogos lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI