KOTA BHARU – Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui kemenangan besar 4-1 ke atas Kelantan United FC boleh menjadi satu bentuk motivasi kepada barisan pemain untuk mempertingkatkan prestasi pada perlawanan akan datang.
Jurulatih kelahiran Croatia itu menjelaskan, bukan hanya kemenangan di Stadium Sultan Muhammad IV malam kelmarin, malah setiap kemenangan memberikan bekalan motivasi tersendiri kepada barisan pemainnya.
“Sudah tentu saya gembira meraih tiga mata penuh pada malam ini (kelmarin) selepas melalui tiga perlawanan dengan keputusan seri. Lebih menggembirakan apabila empat gol dijaringkan oleh empat pemain berlainan.
“Keputusan kali ini menjadikan kami lebih optimis untuk mencapai keputusan lebih baik pada perlawanan akan datang yang mana pada 14 Ogos nanti kami akan kembali ke Kota Bharu untuk berdepan Kelantan FC,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV.
Menurut Steinbruckner, Kelantan United mungkin berada pada kedudukan tercorot dalam carta Liga Super pada ketika ini tetapi keupayaan pasukan itu tidak boleh dipandang rendah.
“Seperti saya maklumkan kepada pemain-pemain, Kelantan United mungkin hanya mengumpulkan lapan mata pada musim ini tetapi presitasi mereka di atas padang sebenarnya jauh lebih bagus daripada lapan mata itu.
“Kami bermain dengan penuh kesabaran sehingga mendapat gol kedua. Daripada situ, kami menentukan siapa pemenang perlawanan itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, keputusan membariskan posisi pertahanan dengan pemain tempatan sepenuhnya adalah untuk memberi peluang kepada mereka membuktikan kemampuan diri terutamanya pemain muda.
Katanya, ini merupakan masa yang sesuai untuk berbuat demikian tambahan pula beberapa pemain utama perlu direhatkan untuk pemulihan selain berdepan risiko digantung perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning.
“Bagaimanapun, kami tetap mempunyai pelan sandaran yang mana walaupun kesemua pemain pertahanan merupakan pemain tempatan, tetapi kami tetap ada pemain import di posisi tengah untuk membantu mereka.
“Kita akui Terengganu FC tidak sekuat musim lepas dan tidak berada dalam kelompok lima pasukan teratas pada musim ini. Namun bagi saya, ini merupakan masa yang sesuai untuk pembangunan pemain-pemain muda tempatan terutama bawah 23 tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE