SHAH ALAM – Kemelut rumah tangga antara pelakon Farid Kamil dengan isterinya, Diana Danielle akhirnya menemui titik noktah apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari di sini.
Bagaimanapun dalam prosiding lafaz cerai itu hari ini, ia menarik perhatian apabila Farid melafazkan cerai secara dalam talian melalui apklikasi Google Meet yang mana prosiding itu, turut didengari oleh Hakim Syarie Shukran Yusof.
Ini kerana Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 42, selaku defendan tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masih tidak sihat akibat pasca Covid-19.
Hakim Syarie: Plaintif (Diana) suci hari ini? Setuju kes diteruskan dalam talian
Diana: setuju
Sejurus selepas itu apabila aplikasi talian dibuka hakim kemudian bertanya kepada Farid.
Hakim Syarie: Encik (Farid) betul besetuju?
Farid: Ya tuan Insyallah…. saya bersetuju (lafaz cerai).
Farid kemudian melafazkan cerai itu kepada Diana pukul 3.22 petang “Bahawa saya Farid Kamil Zahari menceraikan Diana Danielle Danny Beeson dengan talak satu,” kata Farid.
Mendengar lafaz cerai itu, Diana atau nama sebenarnya Danielle Danny Beeson, 32, kelihatan tenang.
Hakim Syarie kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan Diana (defendan) menjalani tempoh edah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian selain sijil nikah dibatalkan.
Diana sebelum ini mendakwa tiada persefahaman selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai.
Permohonan cerai tersebut difailkan Diana atau nama sebenarnya Diana pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Dalam prosiding sebelum ini, Jawatankuasa Pendamai (JKP) menyatakan menemui pendamaian, Farid tetap dengan pendirian enggan melafazkan cerai terhadap isterinya.
Laporan JKP turut menyatakan Diana selaku plaintif nekad untuk bercerai kerana mendakwa sudah tiada persefahaman, manakala Farid tetap dengan pendirian enggan berpisah kerana masih menyayangi keluarga.
Semasa prosiding, Farid diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan manakala Diana diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader.
Pada prosiding lalu, hakim syarie sama menasihatkan Farid dan Diana untuk berdamai bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Untuk rekod Farid dan Diana berkahwin pada 2012 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – KOSMO! ONLINE