fbpx

[KEMASKINI] Farid Kamil ceraikan Diana talak satu secara dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Diana ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah hari ini. AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Kemelut rumah tangga antara Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle akhirnya menemui titik noktah apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari di sini.

Bagaimanapun prosiding lafaz cerai itu menarik perhatian apabila Farid yang juga pelakon melafazkan cerai secara dalam talian melalui apklikasi Google Meet dan didengar Hakim Syarie Shukran Yusof.

Ini berikutan Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, 42, selaku defendan tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masih tidak sihat akibat pasca Covid-19.

Hakim Syarie: Plaintif (Diana) suci hari ini? Setuju kes diteruskan dalam talian
Diana: Setuju

Sejurus selepas itu apabila aplikasi dibuka, hakim kemudian bertanya kepada Farid.

Hakim Syarie: Encik (Farid) betul bersetuju?
Farid: Ya tuan Insya-Allah, saya bersetuju (lafaz cerai).

Farid kemudian melafazkan cerai kepada Diana pukul 3.22 petang “Bahawa saya Farid Kamil Zahari menceraikan Diana Danielle Danny Beeson dengan talak satu.”

Diana kelihatan sangat tenang ketika mendengar lafaz cerai berkenaan.

Hakim Syarie kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan Diana menjalani tempoh idah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian selain sijil nikah dibatalkan.

Diana sebelum ini, mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai dengan Farid.

Permohonan cerai tersebut difailkan Diana pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Dalam prosiding sebelum ini, Jawatankuasa Pendamai (JKP) menyatakan Diana nekad untuk bercerai kerana mendakwa sudah tiada persefahaman, manakala Farid tetap dengan pendirian enggan berpisah kerana masih menyayangi keluarga.

Farid diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan manakala Diana diwakili Datuk Akberdin Abdul Kader.

Pada prosiding lalu, hakim syarie sama menasihatkan pasangan selebriti tersebut untuk berdamai bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Farid dan Diana berkahwin pada tahun 2012 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI