fbpx

Individu positif Covid-19 perlu hadir 2 jam sebelum tamat tempoh mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Individu positif Covid-19 perlu hadir di pusat mengundi dua jam sebelum tamat tempoh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ini bertujuan untuk meminimakan risiko percampuran dengan pengundi-pengundi lain di pusat mengundi kelak.

Katanya, bagi memudahkan urusan pengundian pada PRN ini juga, individu positif Covid-19 berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima mesej daripada aplikasi MySejahtera bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

“Mesej tersebut akan memaklumkan mengenai keperluan pengundi Covid-19 menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau petugas kesihatan berdekatan pusat mengundi sebelum mereka datang ke pusat mengundi.

“Tujuan pemakluman adalah untuk memastikan petugas kesihatan di daerah terlibat bersiap sedia dalam pengurusan pesakit Covid-19 di pusat mengundi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, pengundi Covid-19 positif juga diingatkan supaya tidak menggunakan kenderaan awam dan dikehendaki memakai pelitup muka sepanjang masa di pusat mengundi melainkan semasa pengenalan diri yang memerlukan pelitup muka dibuka ketika di tempat mengundi.

“Pengundi Covid-19 positif juga dinasihatkan agar menjaga penjarakan fizikal yang selamat sepanjang masa terutamanya apabila berhadapan dengan petugas ketika pelitup muka dibuka.

“Setelah selesai mengundi, pengundi positif Covid-19 hendaklah segera meninggalkan kawasan mengundi dan meneruskan pengasingan diri sehingga tamat tempoh Home Surveillance Order (HSO),” katanya.

Ujarnya, bagi mereka yang sedang menerima rawatan di hospital dibenarkan discaj dari hospital atas risiko sendiri bagi mengundi dengan syarat mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Namun, Dr. Muhammad Radzi berkata, pihak hospital tidak akan menyediakan kemudahan pengangkutan dan pesakit hendaklah menggunakan kenderaan sendiri untuk ke pusat mengundi.

“Pesakit Covid-19 positif perlu meneruskan pengasingan diri sehingga tamat tempoh HSO di tempat kediaman atau tempat pengasingan yang ditetapkan sebaik sahaja selesai mengundi,” katanya.

Beliau menasihati agar semua pengundi lain agar sentiasa mengamalkan penjarakan dan mencuci tangan dengan pensanitasi, digalakkan memakai pelitup muka terutamanya bagi yang bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak serta segera mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI