PETALING JAYA — Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, bagi Selangor, cuaca buruk itu dijangka melanda Petaling, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang pada sebelah pagi, manakala hujan dijangkakan di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat pada sebelah petang.
“Negeri Sembilan, hujan lebat dijangka berlaku di Rembau dan Kuala Pilah selain Seremban dan Port Dickson dilanda ribut petir pada waktu pagi. Manakala Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin diramal ribut petir pada waktu petang.
“Selain itu, hujan lebat diramal melanda seluruh negeri Pulau Pinang pada waktu pagi dan ribut petir dijangka tertumpu pada tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan pada waktu petang,” kata kenyataan itu.
Menurut MetMalaysia, amaran hujan lebat di Kedah lebih tertumpu di Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang dan Kuala Muda manakala ribut petir diramal di Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
“Tiada amaran hujan lebat dikeluarkan pada waktu pagi di Kelantan namun ribut petir dijangka melanda seluruh negeri itu pada sebelah petang.
“Beberapa daerah di Terengganu seperti Kemaman dan Dungun dijangka mendung pada waktu pagi manakala Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu dijangka mengalami ribut petir,” jelas MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE