PUTRAJAYA- Pelakon Fauzi Nawawi tampil menjelaskan isu sebenar susulan kenyataan isterinya yang juga aktres Lisdawati mengenai kenyataan tiada tawaran berlakon selama empat tahun selepas berhijab.
Fauzi atau nama lengkapnya Mohd. Fauzi Mohd. Nawawi, berkata, tajuk berita sebuah portal membuatkan orang ramai salah faham mengenai luahan tersebut.
“Isteri saya cuba kongsikan tentang artis perempuan bertudung kemudian buka untuk memberi inspirasi di mana pada mula-mula berhijab dahulu, dia tiada tawaran kerja.
“Memang saya akui, awal-awal dia bertudung kejadian tersebut berlaku sampai dia sedih.
“Namun, tajuk berita yang dipaparkan sebuah portal disalah erti, apatah lagi perkara itu sudah lama berlaku,” kata Fauzi, 50, kepada Kosmo! Online usai tayangan perdana filem Malbatt: Misi Bakara.
Dalam pada itu, pelakon Polis Evo 3 itu memaklumkan maruahnya tercalar sejurus membaca berita tersebut berserta komen netizen dengan pelbagai spekulasi tiada kesahihan.
“Reaksi isteri saya biasa sahaja kerana dia malas mahu ambil tahu tetapi sebagai suami apabila baca tajuk tersebut maruah saya tercalar.
“Tidak mungkin saya akan biarkan berita sebegitu. Apabila baca lagi komen-komen negatif, memang terasa,” ujarnya.
Berbeza dengan kenyataan isteri, aktor itu menafikan laporan berita kononnya keretanya ditarik (bank) sejak awal perkahwinannya dahulu.
“Sekarang saya duduk di rumah selesa. Sejarah daripada kahwin sampai sekarang tidak pernah kena tarik.
“Kalau kereta kena tarik, tidak mungkin kejadian tersebut tidak kecoh.
“Saya tidak mahu orang tahu kehidupan peribadi saya. Saya hanya kongsikan kerjaya sahaja,” jelasnya.
Sebelum ini, Lisdawati berkongsi pernah diuji tidak mendapat sebarang tawaran lakonan selama lebih empat tahun selepas bertudung sehingga terpaksa dikatakan terpaksa menggadai barang berharga selain kereta ditarik. – KOSMO! ONLINE