SHAH ALAM – “Berlakon bersama? Saya tidak pasti.”
Itu respons aktres Diana Danielle ketika ditanya sama ada dia bersedia untuk bergandingan dengan bekas suaminya yang juga pelakon, Farid Kamil dalam mana-mana drama mahupun filem selepas ini.
Katanya dalam nada tegas, dia juga tidak mempunyai sebarang jawapan yang konkrit buat masa ini dan menyerahkan semuanya kepada ketentuan Tuhan.
“Sejujurnya saya tidak tahu lagi sekiranya untuk berlakon bersama Farid. Saya tak pasti lagi sama ada saya akan sedia atau tidak.
“Mungkin masa yang akan menentukan semuanya menjadikan saya menjadi matang dan selesa untuk bekerjasama dengan Farid,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, dia tidak menolak kemungkian hubungan baiknya dengan Farid diteruskan demi kelangsungan hidup dua anak mereka iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora kini berusia lapan tahun.
“Berkawan, itu antara kami yang akan selesaikan bagaimana hubungan kami selepas ini dan mcam mana nak hadapi fasa baru ini.
“Saya juga nak semuanya yang baik-baik dan tidak mahu peningkan kepala,” ujarnya pelakon filem Magika itu. – KOSMO ONLINE