fbpx

[VIDEO] ‘Anak saya ditampar, dipukul ketika hendak makan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesan lebam di beberapa bahagian badan seorang kanak-kanak lelaki didakwa menjadi mangsa dera pengasuh wanita di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang. -Foto: Ivan Amirul/KOSMO!

KOTA KINABALU – Seorang bapa tidak sanggup melihat video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memperlihatkan anak lelakinya ditendang, ditampar dan ditarik rambut didakwa dilakukan pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Penampang.

Malahan lebih memilukan apabila kanak-kanak berusia empat tahun itu ditampar dan dipukul guna pembaris di muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan.

Bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, dia sendiri tidak pernah memperlakukan anaknya sebegitu dan tidak sanggup menyaksikan rakaman anaknya didera.

Katanya, anaknya sudah dua kali menjadi mangsa dera bermula Mac lalu selepas isterinya mendapati ada kesan lebam di bahagian tangan.

“Mulanya anak saya mengatakan dipukul oleh guru (pengasuh), tetapi mengubah (kenyataan) mengatakan kawan-kawan pukul.

“Bagaimanapun, isteri melihat kesan lebam di bahagian dada anak kami seminggu kemudian sebelum bertanya kepada pihak taska. Mereka menyatakan mungkin bergaduh sesama rakan,” katanya.

Tambah lelaki itu, kejadian terbaharu apabila anaknya mengadu sakit di bahagian kepala dan setelah diperiksa didapati ada kesan luka.

Katanya, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Tanjung Aru selepas melihat CCTV yang menyaksikan anaknya ditampar, ditendang dan rambut ditarik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada ibu mangsa, pengusaha taska dan pengasuh didakwa dikasari bapa mangsa.

“Setakat ini, dua kertas siasatan dibuka iaitu di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda tidak melebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan media.

Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik oleh pengasuh di sebuah taska di Luyang sejak petang semalam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI