CURAHAN air terjun yang deras memukul Bumi di kawasan air terjun Lata Bujang, Ulu Cheka, Jerantut, Pahang menerbitkan rasa segar dalam diri pengunjung.
Keunikan bentuk muka buminya yang berkawah dan bertingkat membentuk lima tingkat aliran air terjun besar serta dua air terjun kecil.
Tidak keterlaluan mengatakan bahawa kawasan tersebut sesuai dengan gambaran mitos berkenaan tempat puteri-puteri kayangan bersiram ketika turun ke Bumi.
Bunyi kicauan burung saling bersahutan menambahkan lagi ketenangan yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.
Untuk pengetahuan, nama Lata Bujang diberikan oleh Orang Asli di situ.
Ia bersempena dengan nama salah seorang ahli masyarakat mereka yang mula-mula menemui kawasan tersebut pada satu ketika dahulu.
Sehingga kini, ramai orang mencuri peluang untuk melihat sendiri keindahan alam yang masih belum disentuh oleh manusia itu.
Terletak di dalam Rizab Hidupan Liar Temerloh (RHLTH), pengunjung memiliki pilihan sama ada mahu melalui jalan masuk Kampung Ulu Cheka atau Kuala Krau.
Bagi laluan dari Kampung Ulu Cheka, pengunjung perlu menempuh perjalanan sejauh kira-kira sembilan kilometer iaitu empat jam untuk pergi dan balik.
Menurut Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Mukim Ulu Cheka (PAMUC), Shaiful Alias, 39, terdapat lima checkpoint sebelum tiba di salah satu air terjun tercantik di Malaysia itu.
“Dari tapak mula PAMUC ke perjalanan mula Lata Bujang, ia memerlukan masa 20 minit. Untuk ke checkpoint pertama iaitu Kongsi Cina, ia memakan masa 20 minit lagi.
“Kemudian, perjalanan diteruskan lagi selama 30 minit ke checkpoint simpang Lata Bujang. Lima minit seterusnya, pengunjung akan tiba di kawasan perkhemahan.
“Dari kawasan perkhemahan, pengunjung perlu berjalan 10 minit lagi untuk tiba di air terjun Lata Bujang,” ujarnya kepada Horizon.
Menariknya di sini, pengunjung bukan sahaja dapat berkelah, malah mereka boleh memasang khemah untuk bermalam di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, atas faktor-faktor keselamatan, aktiviti itu perlu dibuat di bawah seliaan pemandu PAMUC yang akan memberitahu tapak sesuai untuk berkhemah.
Pengunjung yang tidak memiliki khemah boleh menyewa kemudahan tersebut dengan pihak PAMUC dengan bayaran cukup berpatutan.
Tambah Shaiful Alias, orang awam perlu menghubungi PAMUC terlebih dahulu bagi membolehkan pihaknya melakukan persiapan awal dan proses permohonan permit daripada Perhilitan Pahang.
“Perjalanan untuk ke sana sangat mencabar. Oleh itu, pengunjung perlu memakai pakaian sesuai untuk melakukan aktiviti pendakian ini.
“Pihak PAMUC akan sediakan jentera pacuan empat roda untuk bergerak ke jalan masuk, dokumen diperlukan dan sijil buat mereka yang berjaya sampai ke Lata Bujang,” jelasnya.