BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menggalas cabaran cukup besar apabila bakal turun sebagai juara bertahan pada Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Copenhagen, Denmark bermula 21 hingga 27 Ogos ini.
Turun dengan status sebagai juara bertahan, Wooi Yik sedar pemain-pemain lain pastinya memberikan sepenuh tumpuan untuk menewaskan mereka, jadi mereka perlu melakukan persediaan terbaik.
Justeru, Wooi Yik berkata, dia dan Aaron akan menggunakan masa yang ada lebih kurang dua minggu ini bagi merencana strategi terbaik dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
“Sudah tentu saya dan Aaron mahu mempertahankan gelaran tersebut tetapi ia bukanlah satu perkara senang. Tahun lepas kami rangkul kejuaraan dunia kerana tidak fikir banyak dan hanya fokus satu demi satu perlawanan.
“Dalam tempoh dua minggu ini kami perlu melakukan lebih latihan dari segi strategi permainan yang masih kurang. Strategi itu penting, jadi saya dan Aaron akan beri lebih perhatian,” katanya.
Semalam, Kosmo! melaporkan Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menggesa beregu tersebut menunjukkan kemahuan lebih tinggi apabila turun ke Kejohanan Dunia nanti.
Rexy turut menyatakan harapan supaya Aaron-Wooi Yik menjadikan legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei sebagai inspirasi kerana sentiasa berjuang mati-matian walaupun sudah memiliki banyak gelaran.
Sementara itu, Wooi Yik menegaskan, mereka akan berwaspada dengan cabaran mana-mana pemain di pusingan pertama menjelang undian yang dilakukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
“Kami tidak mahu buat perbandingan mengenai undian, cuma perlu bersedia sebaiknya. Saya tahu pemain-pemain lawan sudah perhatikan kita dalam kejohanan-kejohanan terdahulu, jadi ia bukan sesuatu yang mudah,” ujarnya.