fbpx

Tiada perbincangan jawatan Timbalan Menteri Besar – Amirudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin ketika tampil melalui podcast Keluar Sekejap baru-baru ini.

PETALING JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jawatan timbalan menteri besar Selangor tidak mungkin diadakan sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Jelas Ahli Parlimen Gombak itu, perbincangan dalam kalangan pemimpin parti menyatakan bahawa tiada keperluan untuk diwujudkan jawatan itu buat masa ini.

“Jawatan timbalan menteri besar kemungkinan tidak ada. Ini antara perbincangan saya dengan banyak pihak. Saya tidak ada niat (untuk mengadakannya), tetapi bergantung juga kepada sultan.

“Kalau ditanya logiknya, mungkin sebab timbalan menteri besar dulu, Menteri Besar juga perlu diberi ruang mentadbir. Jadi, setakat ini tidak ada perbincangan itu dan saya percaya belum diperlukan lagi setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika tampil melalui podcast Keluar Sekejap kelolaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disiarkan baru-baru ini.

Sebelum ini, timbul desas desus untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar sekiranya gabungan PH-BN menang pada PRN Sabtu ini.

Desas desus itu berlaku selepas penyertaan BN bersama PH dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan yang cuba diterapkan di peringkat negeri selepas PRN nanti, dengan ura-ura jawatan itu akan diberikan kepada BN sebagai tanda persepakatan antara kedua-dua blok parti itu.

Namun, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan perkara sedemikian tidak pernah dibincangkan.

Sementara itu, Amirudin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada PRN kali ini yakin akan kekal dipilih sebagai Menteri Besar jika PH-BN membentuk kerajaan negeri.

“Saya berkeyakinan terutama selepas (Pengerusi PH, Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) umum tiga kali secara terbuka termasuk ketika perhimpunan pengumuman calon sebelum ini.

“Cuma yang penting, kita kena menang dulu. Menang dengan majoriti selesa. Saya tak berani nak cakap lebih, setakat ini saya yakin, setakat perbincangannya, begitulah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI