fbpx

Sungai Pahang makin cetek jadi tumpuan kaki pancing, riadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai yang melakukan aktiviti riadah dan memancing di Beting Pasir Sungai Pahang di Kampung Durian Tawar di Bera kelmarin.

BERA – Sungai Pahang yang semakin cetek sehingga membentuk beting pasir mungkin menjejaskan penternakan ikan sangkar, namun dari sudut lain telah memberi manfaat kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti riadah di kawasan berkenaan.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Kampung Durian Tawar di sini mendapati, suasana di beting pasir berkenaan bagaikan pesta apabila dipenuhi kalangan kaki-kaki pancing yang datang bersama keluarga terutamanya pada waktu pagi dan petang.

Seorang penduduk, Suhaimi Othman, 45, berkata, aktiviti memancing kerap diadakan di kampung itu sebagai aktiviti riadah sampingan setiap tahun.

Katanya, lebih memeriahkan keadaan apabila kawasan berkenaan turut dikunjungi penduduk dari luar daerah ini.

“Saya memancing sekadar untuk seronok sahaja, kalau hendak dapat ikan, kena memancing waktu pagi atau lewat petang. Pada ketika itu, air sungai tidak terlalu panas dan memudahkan untuk memancing.

“Bukan setakat aktiviti memancing, ada juga yang berkelah dan bermain bola di sini tetapi bukan selalu. Cuma bila keadaan seperti ini, siapa yang tidak mahu ambil peluang, inilah riadah di kampung,” katanya dketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Durian Tawar, Khairilihsam Burhanuddin berkata, fenomena sungai yang semakin cetek mungkin menjejaskan ekonomi penduduk yang mengusahakan ikan sangkar dna ia adalah perkara normal di sini.

Beliau yang juga seorang nelayan sungai berkata, kewujudan beting pasir itu bagaimanapun memberi manfaat kepada para nelayan di sini yang mampu menangkap ikan sungai dengan lebih mudah.

“Kami masih boleh lagi mencari rezeki seperti biasa, malah anak-anak ikan yang berkumpul di tepi pasir itulah kami jadikan umpan untuk menangkap ikan yang lebih besar serta memberikan pulangan yang lumayan.

“Baru-baru ini saya berjaya menangkap dua ekor ikan patin buah seberat kira-kira satu kilogram seekor dan dijual sehingga mencecah RM170 sekilogram,”katanya.

Terdahulu, Kosmo! pada 3 Ogos lalu melaporkan, penternak ikan patin sangkar di sini, rugi besar apabila Sungai Pahang yang selama ini dianggap lubuk pendapatan bagai bertukar menjadi ‘padang pasir’ selepas airnya kering ekoran cuaca panas yang melanda sejak beberapa bulan lalu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI