PETALING JAYA – Sepupu kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membuat kejutan dengan membuka markas Pakatan Harapan (PH) berhampiran dengan rumah pemimpin Pas itu di Kampung Panchor, Kota Bharu.
Menerusi perkongsian di Facebook, Muhamad Fekri Muhamad Yusoff, 62, berkata, dia berbuat demikian disebabkan tidak puas berpuas hati dengan kepimpinan Pas yang hanya menggunakan nama Islam semata-mata sebagai alat perjuangan untuk menarik sokongan rakyat.
Katanya, Pas yang sekarang yang dilihat tidak memperjuangkan Islam sebagaimana pemerintahan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Saya tidak pernah bergaduh dia (Mohd. Amar) kerana setiap kali solat, kami akan solat di masjid yang sama, lagipun selepas sahaja selesai mengundi, saya akan menutup semula markas ini.
“Jika sebelum ini saya adalah penyokong Pas, namun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya tidak lagi menyokong Pas malah tekad beralih arah menyokong PH,” katanya.
Jelasnya lagi, tindakan membuka markas itu juga selepas calon daripada PH iaitu Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain dicalonkan berdepan Mohd Amar pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Menurutnya, ia merupakan sejarah peribadi tersendiri apabila sejak 60 tahun lalu tidak pernah sebarang markas selain Pas didirikan di kawasan itu.
“Kali ini saya nekad membuka markas PH di sini sejak Syed Mohd Alidustur dicalonkan bertanding bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Panchor,” katanya.-KOSMO! ONLINE.