SINGAPURA – Lebih 4.7 kilogram heroin dirampas dari sebuah kereta yang didaftarkan di Malaysia sejurus ia tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands, petang Sabtu lalu, lapor akhbar The Straits Times.
Ia merupakan rampasan dadah terbesar di pintu masuk Singapura itu setakat ini bagi tahun 2023.
“Seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 22 tahun yang menaiki kereta itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah,” kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam satu kenyataan bersama semalam.
Percubaan menyeludup itu digagalkan oleh pegawai-pegawai ICA yang mengesan beg kanvas dalam but kereta ketika memeriksa kenderaan itu.
“Bungkusan besar dipercayai mengandungi dadah terkawal kemudian ditemui, sebelum pegawai CNB dimaklumkan dengan segera,” kata pihak berkuasa.
Sebanyak 10 bungkusan kecil heroin seberat 4,723 gram ditemui di dalam bungkusan besar tersebut dengan nilai yang dianggarkan lebih S$331,400 (RM1.1 juta).
Siasatan bagi kes tersebut sedang berjalan.
Di bawah undang-undang Singapura, mereka yang menyeludup lebih 15 gram heroin asli berdepan hukuman mati. – Agensi