ALOR SETAR – Sokongan rakyat Kedah kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dikatakan terus meningkat, sekali gus menguatkan keyakinan gabungan itu untuk membentuk kerajaan negeri menerusi majoriti mudah.
Pengerusi PH negeri, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebanyak 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah berada dalam genggaman, manakala tiga lagi kerusi mampu ditawan.
“Saya masih berkeyakinan bahawa 16 (kerusi) itu dalam genggaman dan kami hanya nak mengejar tiga kerusi sahaja lagi yang mana saya penuh yakin kerusi itu sudah pun kita capai.
“Setakat ini insya-Allah boleh, saya tidak boleh sebut (kerusi) apa kerana kita sedang melonjakkannya kepada satu jumlah yang selesa. Jadi kalau lebih daripada 19, saya ingat itu satu bonus kepada kita,” katanya pada sidang akhbar bersama Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pejabat UMNO di Bangunan Tunku, di sini hari ini.
Ketika ditanya berhubung calon Menteri Besar daripada gabungan itu, pihaknya hanya akan memutuskan perkara itu sekiranya memenangi PRN nanti.
“Kita akan hantar mungkin dua atau tiga nama kepada Tuanku Sultan Kedah, sebab kita tak boleh hantar satu. Kalau satu parti yang buat keputusan. Tuanku Sultan Kedah yang akan buat pilihan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE