PETALING JAYA – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap agar peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini tinggi sama seperti proses pengundian awal semalam.
Ini kerana kata Menteri Besar Terengganu berkata, semua negeri bertanding mencatatkan peratusan keluar mengundi melebihi 90 peratus.
Jelasnya, Terengganu merekodkan bilangan keluar mengundi kedua tertinggi iaitu sebanyak 95.91 peratus.
“Syabas saya ucapkan buat semua anggota dan keluarga yang mengundi kerana kalian telah menjalankan tanggungjawab demi masa depan Malaysia tercinta.
“Diharapkan momentum ini akan diteruskan oleh semua pengundi di keenam-enam negeri pada 12 Ogos, Sabtu ini,” katanya di laman Facebook hari ini.
Terdahulu, SPR dalam kenyataan semalam memaklumkan seramai 72,554 orang terdiri daripada anggota tentera, polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
Kedah mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 96.02 peratus diikuti Terengganu 95.91 peratus, Selangor 95.87 peratus, Pulau Pinang 95.01 peratus, Negeri Sembilan 94.05 peratus dan Kelantan 93.90 peratus. – KOSMO! ONLINE