SHAH ALAM – Tindakan seorang pemilik stesen minyak mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapat balasan apabila didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini.
Hakim Datuk Anita Harun menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Aliff Abdul Rashid, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Muhammad Aliff juga diarahkan menjalani penjara tambahan selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, Muhammad Aliff didakwa dengan curangnya menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan miliknya untuk jawatan pengurus jualan.
Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso, Petaling Jaya pada 14 September 2021.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Peguam Ahmad Naqib Azhar mewakili tertuduh menjelaskan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan menyesal dan berjanji tidak akan terlibat lagi dalam sebarang kes lagi selepas ini.
“Anak guam saya mahu jadi insan baik dan bebas daripada kes-kes sebegini pada masa depan. Dia juga mempunyai tanggungan anak dan isteri selain ibunya yang memerlukan rawatan lanjut selepas pembedahan akibat kencing manis,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Maziah Mohaide menegaskan tertuduh telah mengambil peluang dan kesempatan untuk kepentingan diri sendiri atas bantuan kerajaan.
“Ini melibatkan dana awam iaitu peruntukkan Perkeso yang bertujuan bantu rakyat akibat pandemik Covid-19. Denda RM300,000 adalah wajar dan melambangkan serta cerminkan kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh,” katanya. – KOSMO! ONLINE