KETUA jurulatih skuad hoki negara, A. Arul Selvaraj memuji reaksi balas yang ditunjukkan anak-anak buahnya apabila berjaya menyambar slot ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India.
Kejayaan itu hadir selepas Speedy Tigers merakam kemenangan 3-1 ke atas Jepun pada aksi keempat di Stadium Mayor Radhakrishnan kelmarin sekali gus bangkit daripada kekalahan teruk 0-5 kepada India sebelum ini.
“Kemenangan ini memastikan kita ke separuh akhir. Satu perlawanan yang sangat baik daripada para pemain dengan posisi dan pergerakan bola lebih kemas berbanding menentang India.
“Kami akan gunakan waktu rehat hari ini (semalam) untuk membuat post-mortem sebelum aksi menentang Korea Selatan. Fokus kita sekarang beralih kepada perlawanan terakhir ini,” kata Arul.
Tiga gol Malaysia kelmarin diperoleh menerusi jaringan Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-13, Meor Muhamad Azuan Hasan (m-37) dan Shello Silverius (m-59), manakala Takuma Niwa meledak gol sagu hati Jepun pada lewat permainan.
Aksi terakhir liga sepusingan menentang Korea Selatan hari ini tidak membawa apa-apa makna buat skuad negara yang berada di ranking ke-10 dunia kerana kedua-dua pasukan juga sudah layak ke separuh akhir.
Namun, ini adalah peluang terbaik buat Speedy Tigers membalas dendam terhadap kekalahan kepada Korea Selatan selepas tewas 0-1 dan 0-4 dalam dua pertemuan pada saingan Piala Negara-Negara FIH di Afrika Selatan tahun lalu.