fbpx

Megat Zulkarnain mahu jadikan Gombak bandar ilmu, tubuh majlis perbandaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Megat Zulkarnain (kanan) ketika ditemu bual di Dewan KLMO Batu Caves, Gombak kelmarin. – AMIR KHALID

GOMBAK – Calon Barisan Nasional Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berhasrat menubuhkan Majlis Perbandaran Gombak selain menjadikan bandar itu sebagai pusat ilmu.

Beliau yang juga Pengerusi BN Selangor berkata, usaha tersebut akan diperjuangkan jika beliau diberi mandat me­mimpin DUN Gombak Setia.

“Sebagai anak jati Gombak, menjadi tanggungjawab untuk terus memajukan kawasan ini. Di sini dipanggil DUN Gombak Setia, Parlimennya adalah Gombak, tetapi tak ada satu pun yang boleh dibanggakan di kawasan ini, majlis pun, Majlis Perbandaran Selayang. Ada pun Pejabat Daerah Gombak di Selayang, sedangkan di Gombak ini adalah kampung asal.

“Nak dapatkan kemudahan hospital pun kena ke Selayang, agensi-agensi kerajaan lain luar dari Gombak, Gombak ini tak ada apa, hanya UIA (Universiti Islam Antarabangsa). Kita mahu bangunkan Gombak sebagai bandar ilmu dan mesti angkat Gombak itu sendiri sebagai sesuatu yang lebih besar.

“Saya bercita-cita satu hari tubuhkan Majlis Perbandaraan Gombak itu sendiri sebab kepadatan penduduk di Gombak tinggi, pengundi di DUN sahaja ada 88,000, kalau Parlimen ada lebih 200,000 pengundi, jadi saya fikir ini adalah sesuatu yang perlu diperjuangkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.

Tambahnya, selain perancangan menubuhkan Majlis Perbandaran Gombak, beliau menyasarkan untuk mewujudkan sebuah bandar baharu atau kampung tersusun baharu Gombak demi memastikan anak-anak Gombak mampu hidup dan terus membesar di tempat asal mereka.

“Ada beberapa perkara pen­ting yang ingin saya selesaikan. Ingin saya beri tumpuan kepada anak-anak Gombak. Kita kena faham di Gombak Setia ini ada kepelbagaian orang yang menetap di sini.

“Saya bawa dua kali dalam manifesto saya mesti diwujudkan bandar baharu atau kampung tersusun baharu Gombak. Saya tahu tempatnya ada, tanahnya ada tinggal lagi kita perlukan kuasa politik untuk melakukannya.

“Sebab ada kawan-kawan saya yang asal dari Gombak, tetapi bila dah berkeluarga, terpaksa keluar sebab tidak mampu nak ada rumah di sini, jadi perubahan ini penting untuk kekalkan penduduk asal Gombak,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada seluruh jentera parti yang telah bersama-sama meyakinkan rakyat dan pengundi dalam membuat pilihan yang tepat menjelang hari penentuan Sabtu ini.

“Alhamdulillah, sekarang ini kita sudah dalam perjalanan akhir sebelum hari me­ngundi Sabtu ini. Terima kasih kepada jentera yang telah be­kerja bertungkus-lumus me­yakinkan pengundi dan rakyat terutamanya dalam Gombak Setia tentang betapa perlunya kestabilan sesebuah kerajaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI