ALOR SETAR – Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor masih mempunyai ‘hutang’ sebanyak RM10,000 dengannya.
Dakwa Mahfuz, hutang tersebut adalah kos Mahkamah Rayuan bagi kes saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah itu yang telah diputuskan pada April lalu.
“Sebenarnya saya nak umumlah hari ini, saya tunggu dia (Muhammad Sanusi) telefon. Boleh saya minta (bayaran) kerana RM10,000 lagi dia hutang saya.
“Saya pun hairan, dia mengaji pandai tapi nampaknya dia tidak tahu nak kira berapa sebenarnya yang diumumkan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Kos Mahkamah Rayuan kalau tak silap saya, seperti dimaklumkan oleh peguam saya kepada saya,” dakwanya pada sidang akhbar di pejabat UMNO di Bangunan Tunku, di sini hari ini.
Kata beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Sanusi perlu menjelaskan hutang tersebut kerana tindakannya itu mengingkari perintah mahkamah.
“Jadi saya harap (bayar), takut nanti RM200 juta (saman oleh Tan Sri Vincent Tan) itu, dia tak terlepas bayar (RM10,000). Jadi minta dia bayar dululah RM10,000 ini,” ujarnya.
Tambahnya, bayaran ganti rugi sebanyak RM120,000 yang diperintahkan Mahkamah Rayuan sebelum ini telah dijelaskan Muhammad Sanusi.
Mahkamah Rayuan pada April lalu membenarkan rayuan balas Mahfuz untuk kuantum ganti rugi dinaikkan kepada RM120,000.
Pada November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Muhammad Sanusi membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada Ahli Parlimen Pokok Sena itu berhubung kenyataan fitnah isu pemindahan Sports Toto ke kawasan tersebut melalui hantaran Facebook dua tahun sebelum itu. – KOSMO! ONLINE